Kenapa Memutuskan Hubungan Diplomatik Dengan Qatar?

Pray for Qatar

KENAPA tidak meningkatkan tekanan kepada Israel yang sejak 1948 menjadi pengganas menzalimi rakyat Palestin? Kenapa memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar?

Adakah Israel yang menceroboh Palestin, merampas tanah dan membunuh rakyatnya bukan pengganas? Kenapa Qatar? Adakah kerana Qatar tidak memusuhi Ikhwanul Muslimin dan Hamas yang tahap “keganasannya” melampaui Israel?

Apakah permainan sebenarnya di sebalik tindakan drastik yang memberikan kesan sangat besar terhadap geopolitik di Asia Barat? Tindakan ini memperagakan pemikiran pemimpin Islam di dunia Arab mudah dipengaruhi Barat tanpa melihat kesan jangka panjang kepada umat Islam seluruhnya.

Lima negara dunia Arab; Arab Saudi, Emeriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Mesir dan Yaman telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar.

Alasannya sangat meragukan. Kelima-lima negara ini bersepakat mengambil tindakan demikian kerana sokongan Qatar kepada pergerakan Islam Ikhwanul Muslimin yang diharamkan di Mesir dan Hamas di Palestin.

Kenapa tiba-tiba timbul isu pengganas dan Qatar? Adakah ini kena mengena dengan penegasan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semasa melawat Asia Barat termasuk Arab Saudi dan Israel supaya memerangi pengganas? Dalam kelima-lima negara itu, yang paling dominan ialah Arab Saudi dan Mesir. Kedua-duanya pula mempunyai sejarah keakraban yang luar biasa dengan AS.

“Extremism, and all reference was pointing to Qatar. Perhaps this will be the beginning of the end to the horror of terrorism!” Ini adalah twit Trump pada 6 Jun lalu dan sama sekali tidak boleh diperemehkan. Trump secara terang menyasarkan Qatar sebagai pelindung pengganas di rantau Asia Barat. Faktor Trump membuat kenyataan demikian bukan satu jenaka.

Kalau ditinjau lebih mendalam, Mesir adalah proksi AS di Asia Barat selain anak angkatnya, Israel. Kecuali Mohamad Morsi, semua Presiden Mesir adalah dalam kalangan pemimpin tentera dan bukan rahsia lagi tentera Mesir mendapat dana tahunan yang besar dan dua pertiga daripada dana itu disalurkan kepada ketenteraan, selebihnya untuk prasarana bagi kesejahteraan rakyat. Morsi adalah pemimpin Ikhwanul Muslimin yang dipilih menjadi Presiden dalam pilihan raya bebas Mesir yang pertama.

Disebabkan Morsi pemimpin Ikhwanul Muslimin serta bukan proksi Barat, AS memainkan peranan mencetuskan huru hara hingga memaksa rampasan kuasa oleh pihak tentera. Perampas itu adalah pemimpin tentera El Sisi yang kini menjadi Presiden Mesir dengan dukungan AS. Serentak dengan kejatuhan Morsi, orangnya dipenjara serta banyak yang dihukum mati dan Ikhwanul Muslimin diharamkan.

Nah, dalam penghukuman kepada Qatar baru-baru ini, nama Ikhwanul Muslimin disebut sebagai alasan termasuk pergerakan Hamas yang menentang kezaliman Israel di Palestin. Ikhwanul Muslimin telah dikambinghitamkan untuk menjatuhkan Qatar yang memusuhi Israel. Suara Israel tidak kedengaran dalam konflik terbaru ini tetapi tetap memainkan peranan di belakang tabir sambil menangguk keuntungan.

Sebenarnya ketegangan negara-negara Arab dengan Qatar bukan baru. Pada 2014 misalnya, Bahrain, Arab Saudi, dan UAE telah menarik balik Duta Besar masing-masing dengan alasan Qatar mencampuri hal ehwal dalaman negara berkenaan.

Sokongan Qatar kepada Ikhwanul Muslimin juga sebahagian alasannya. Bagaimanapun keadaan reda apabila Qatar memaksa Ikhwanul Muslimin keluar dari negara itu. Ikhwanul Muslimin digambarkan lebih besar jenayahnya berbanding tentera Zionis Israel.

Pada 2012 pula ketika meletusnya Kebangkitan Arab, Qatar dituduh menyokong Presiden Mesir ketika itu, Mohamad Morsi dari Ikhwanul Muslimin. Selain itu Qatar telah memberikan ruang kebebasan yang besar kepada agensi berita Al Jazeera menyiarkan liputan Kebangkitan Arab hingga melumpuhkan negara-negara terbabit.

Bagaimanapun yang paling menimbulkan kemarahan negara Arab terutama Arab Saudi ialah selepas agensi berita Qatar, Qatar News Agency (QNA) digodam yang membawa kepada pembocoran kenyatan-kenyataan sulit pemimpin Qatar mengenai Arab Saudi. Antaranya Qatar mempertikaikan kempen-kempen Arab Saudi untuk menyingkirkan Iran daripada kuasa-kuasa lain di Asia Barat.

Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman semasa memberikan reaksinya kepada media berkata, tindakan negara-negara Arab memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar membuka peluang yang lebih besar memerangi pengganas.

Null

Bagaimanapun beliau tidak melontarkan kegembiraannya bahawa tindakan ke atas Qatar menjadi pemangkin teranjak lagi perjanjian damai Israel – Palestin. Ini kerana Qatar dilihat menjadi paksi kekuatan Hamas dari segi ketenteraan dan kewangan.

Pada 1996, Qatar menjadi negara pertama dalam dunia Arab menjalinkan hubungan dagang dengan Israel. Bagaimanapun kerana kezaliman tentera Zionis Israel melancarkan perang ke atas Gaza pada 2008 dan 2009 yang mengakibatkan 1,200 orang Palestin terkorban, Qatar dengan serta merta menutup pejabat perdagangan Israel di Doha dan mengusir semua kakitangan.

Dari segi ekonomi, Qatar mempunyai sumber bumi iaitu minyak dan gas asli yang menjadi pemacu kepada negara yang pendapatan perkapita tertinggi. Sebelum meletusnya konflik terburuk ini Qatar menjadi sebutan dunia dan menadah kemasukan pelancong sempena penganjuran Piala Dunia yang dijadualkan pada 2022. Bagaimanapun dengan tercetusnya konflik diplomatik ini, penganjuran Piala Dunia 2022 menjadi samar-samar.

Simpanan gas aslinya mencecah 25 trilion meter padu iaitu 13 peratus daripada simpanan gas asli dunia dan ketiga terbesar di dunia. Sementara simpanan minyak dijangka mencapai 25 bilion tong yang kalau diambil dalam kuantiti sekarang akan mengambil masa 56 tahun untuk habis. Ternyata Qatar mempunyai hasil yang memungkinkan banyak pihak terutama AS berhasrat untuk menguasainya seperti yang berlaku di Iraq.

Secara diplomatik, Qatar dilihat mempunyai hubungan rapat dengan AS apabila membenarkan pangkalan tertera AS dibina di negara itu. Tetapi faktor AS tidak boleh diperemehkan dalam konflik terbaru di Asia Barat ini apa lagi tindakan memutuskan hubungan diplomatik dibuat selepas beberapa hari lawatan Trump ke Asia Barat khususnya Arab Saudi.

Barangkali Qatar akan dijadikan seperti Mesir ketika diterajui oleh Presiden Hosni Mubarak. Walaupun Mesir proksi AS tetapi pada tangan yang satu lagi AS mendukung aspirasi Kebangkitan Arab untuk menumpaskan Mubarak.

Kesimpulannya konflik ini menguntungkan musuh Islam terutama Israel dan AS. Tindakan drastik yang penuh emosi begini tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan negara Islam di Asia Barat. Apa lagi melihat takah hubungan yang sangat rapuh. Tentunya tindakan memulaukan secara diplomatik ini membuka ruang kepada musuh untuk memainkan peranan mereka.

Negara-negara Arab ternyata tidak pernah belajar daripada sejarah. Sebaliknya mereka sanggup bersatu untuk memusnahkan antara satu dengan lain. Tanpa musuh Islam sekalipun hubungan antara negara-negara Arab mudah retak, apa lagi dengan segala macam propaganda oleh Barat yang bermatlamat menguasai kekayaan negara Islam.

Tanpa sokongan kuat daripada negara yang paling dominan seperti Arab Saudi dan Mesir, tindakan memutuskan hubungan diplomatik terhadap Qatar tidak mungkin berjaya. Tiga negara lagi, Bahrin, UAE dan Yaman tidak mempunyai pengaruh sehebat Mesir dan Arab Saudi.

Tindakan Arab Saudi mendesak Qatar memutuskan hubungan dengan pergerakan Hamas sudah pasti akan menguntungkan Israel. Tetapi tidak menguntungkan Arab Saudi. Hamas adalah benteng yang memperlahankan pencerobohan dan kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin.

Mendesak Qatar supaya tidak menyokong Ikhwanul Muslimin hanya akan menguntung AS dan proksinya yang menerajui Mesir. Perlu diingat label “pengganas” kepada Ikhwanul Muslimin dan Hamas adalah dari sisi Barat. Apakah negara-negara Islam Arab juga memahami “pengganas” daripada pengertian Barat?

Original Artikel: www.ismaweb.net

Leave your vote

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Null

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *